Saturday, May 9, 2009

Kuliah Dhuha Tok Guru Kesayangan Rakyat…

Salam Sang Pejuang,

Alhamdulillah, bersyukurnya diri saya ditakdirkan menjadi rakyat Kelantan, bukan bermaksud menafikan keistimewaan kerakyatan negeri-negeri lain, tetapi lebih utama saya berkata demikian adalah kerana berada di Kelantan saya berpeluang ‘menadah’ sebanyak mungkin ilmu mahupun tunjuk ajar berkaitan duniawi lebih-lebih lagi ukhrawi daripada Ulama tersohor yang sungguh saya kagumi lagi kasihi iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliaulah Tok Guru, Ulamak, Menteri Besar, Mursyidul Am PAS dan ikon yang menjadi contoh jutaan rakyat jelata yang kasih dan cintakan peribadi beliau yang begitu alim, zuhud dan penuh seni dalam berdakwah. Malah beliau turut dihormati oleh semua pihak sama ada kawan mahupun lawan. Inilah kelebihan beliau..



Kalau balik ke Kelantan, insyaAllah saya tak akan melepaskan peluang menghadiri kuliah Dhuha Tok Guru setiap hari Jumaat di Dataran Ilmu di tengah-tengah Bandar Kota Bharu, itulah uniknya Negeri Serambi Mekah, Bandaraya Islam yang sudah pasti manjadi kebanggaan setiap penduduk negerinya yang dihadiri oleh ribuan pendengar dari segenap pelusuk tanah air.

Ayuh, saya kongsikan sedikit ilmu Allah yang saya dapat semasa ke kuliah Tok Guru tak berapa lama dahulu.

Firman Allah SWT,

‘Maka berpalinglah engkau dari mereka, dan engkau sama sekali tidak tercela’
Az-Zariyat : 54

Tok Guru berpesan, sebagai orang Islam, kita perlulah melarikan diri daripada perkara kejahatan, kemaksiatan sama ada di dunia ataupun kejahatan di akhirat. Berlari kepada Allah adalah dibenarkan dalam perkara kebaikan.



Rasulullah diutuskan di muka bumi Allah ini untuk menyampaikan berita yang menyenangkan (basyir) yang semestinya disukai oleh semua orang seperti balasan syurga, pahala dan sebagainya. Tetapi harus diingat, Rasulullah juga turut menyampaikan berita yang menggerunkan kepada umatnya seperti neraka dan hari pembalasan (nazir). Justeru itu, kita sepatutnya mempunyai ruang dan penelitian untuk memilih yang mana terbaik sebagai bekalan kita ‘di sana’ nanti.

Setiap manusia tidak mempunyai memori yang kekal, kadang kala mereka lupa, seharusnya diberi peringatan atau dengan kata lain tazkirah bagi memandu kejalan yang diredhaiNya. Tetapi tazkirah hanya bermanfaat kepada orang mukmin (beriman), bukan untuk orang Islam. Tidak guna hanya sekadar Islam tetapi tidak beriman, sudah pasti sebarang tazkirah ataupun peringatan tidak akan melekat di dihati. Perlu Islam +Iman.

Begitulah serba sedikit pesanan mahupun intipati yang saya boleh kongsikan bersama kalian semua. Rindunya nak mendengar kuliah Tok Guru. Kepada mereka yang berkesempatan, janganlah lepaskan peluang untuk ‘menadah’ sebanyak mungkin ilmu dari alim Ulamak selagi beliau masih bernafas, kelak menyesal pun tidak ada gunanya lagi jika Allah sudah menjemput untuk bertemuNya suatu hari nanti. Ayuh, dampingilah para alim Ulamak dan orang-orang soleh, moga-moga kita mendapat kebaikan daripada mereka semua.

Saya syorkan kepada kalian semua untuk sama-sama membaca buku terbaru berkenaan Ulamak yang disayangi oleh semua lapisan masyarakat ini, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertajuk ‘KEMILAU PERIBADI NIK ABDUL AZIZ NIK MAT’, keluaran Anbakri Publika Sdn. Bhd. Saya sudahpun menghabiskannya, anda bila lagi..?

Nik_F

~::|Memberi bukan erti untuk Menerima|::~

0 comments:

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template