Wednesday, November 19, 2008

Salam Perpisahan...

Salam Sang Pejuang,

Akhirnya saat ini tiba jua. Takkala ada pertemuan, sudah semestinya ada saat perpisahan. Bila sesuatu pertemuan dihiasi dengan pelagai kenangan manis malah kenangan pahit sekalipun, tetapi ianya masih tetap menjadi ingatan selagi hayat ini dikandung badan.

2003, tahun bersejarah buat penulis menjejakkan kaki ke bumi Pahang bagi meneruskan misi seorang dai’e di muka bumi Allah ini dalam menuntut ilmu di bumi gersang Gambang. Alhamdulillah, akhirnya selesai melengkapkan diploma & ijazah sarjana muda setelah 6 tahun ‘berperang’, insyaAllah..Selamat tinggal UMP, dikau banyak mengajar erti kehidupan buat ku.

Terima kasih kepada semua yang banyak membantu, mendidik, memberi tunjuk ajar, memberi perangsang, menjadi teman suka dan duka, dan banyak lagi..tak mampu diri ini menukilkannya.

Buat para pensyarah, ustaz, ustazah mahupun semua staff, terima kasih di atas segala ilmu yang dicurahkan, tunjuk ajar yang diberikan, bimbingan dan dorongan yang telah diberikan, mohon halalkan semuanya. Kalian telah banyak mendidik diri ini menjadi insan yang mampu berdikari seterusnya bersedia mendepani cabaan yang bakal mendatang di medan yang lebih mencabar..TERIMA KASIH…Moga Allah lah yang selayaknya membalas jasa kalian semua.

Teman-teman ku, dikaulah rakan-rakan yang sangat banyak membantu dalam meneruskan ‘survivor’ sebagai seorang mahasiswa yang penuh dengan onak dan likunya. Dikaulah teman yang banyak memberi dorongan mahupun sokongan takkala bantuan diperlukan. Teman-teman sekalian, diri ini sangat-sangat bertuah mengenali dikau sekalian, terima kasih Allah atas nikmat yang cukup-cukup berharga ini. Di bumi manakah lagi aku dapat mencari pengganti seperti kalian semua..?? Terima kasih kerana memberi peluang mengenali diri kalian semua dan sanggup berkongsi kenangan terindah bersama kalian..terima kasih..

Ya Allah ya tuhankan, aku memohon kepada Mu agar ikatan ukhuwah yang telah dibina didasarkan rasa cinta dan kasih kerana Mu ini akan kekal selamanya, kekalkanlah ingatan saat-saat manis bersama mereka, berilah mereka petunjuk dan taufik Mu serta letakkan mereka di bawah lembayung rahmat Mu..amin. Maafkan daku atas salah & silap dan halalkan segala-galanya.

Akhirnya medan perjuangan sebenar menanti di luar sana, insyaAllah, segala ilmu mahupun persediaan sebelum melangkah keluar akan dimaksimumkan penggunaannya di ‘medansana. Doakan ku wahai teman-teman, para pendidik sekalian, moga diri ini sentiasa terikat dengan Allah dan rindu serta kasih kepada perjuangan Islam..InsyaAllah.


Terima kasih atas segala-galanya. Moga kita semua berjumpa lagi di lain pertemuan, insyaAllah. Daku pasti merindui kalian semua!!!

Bak kata seorang teman baikku, ‘try to be somebody and create your own history’..


Nik_F

~::|Memberi bukan erti untuk Menerima|::~


Baca Seterusnya......

Tuesday, November 11, 2008

Umat Muhammad Akhir Zaman…


Salam Sang Pejuang,

Sedarkan pembaca-pembaca budiman sekalian, semakin hari semakin parah rupanya masyarakat disekeliling kita yang beridentitikan mycard yang tertera ISLAM di dalamnya?? Penulis mengambil contoh mudah beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini dek kerana lemahnya pegangan agama dan ceteknya pengetahuan Islam umat manusia akhir zaman ini.


Kes 1,

Baru-baru ini (Harian Metro : Ahad, 9 November 2008) & Malaysiakini melaporkan terdapat sebahagian anak-anak muda yang cukup berani melakukan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan isu ‘pengkid’. Tahukan apa itu ‘pengkid’? Tahniah jika anda seorang yang sentiasa ambil cakna berkenaan isu-isu semasa. Bagaimana pula mereka yang mengerutkan keningnya apabila perkataan ‘pengkid’ dibangkitkan?? Sah! Anda berada dalam ‘ZON SELESA”.

Salah satu kelemahan umat Islam umumnya & mahasiswa khususnya yang amat-amat tidak peka berkenaan dengan isu semasa walhal ia membabitkan isu agama Islam sendiri..!!

‘Pengkid’, trend anak muda perempuan yang cuba mengubah identiti mahupun gaya penampilan kepada LELAKI serta cenderung minat kepada kaum sejenis yang semakin mendapat tempat di dalam negara kita, sedarkah anda semua..?? Malah Majlis Fatwa Kebangsaan telah bersepakat mengharamkan ‘pengkid’ yang sememangnya bertentangan dengan tabii dan fitrah manusia lebih-lebih lagi agama Islam sendiri.

Rasulullah SAW bersabda:

“Rasulullah SAW melaknat wanita-wanita yang berpakaian menyerupai lelaki dan lelaki berpakaian menyerupai wanita.” (H.R. Bukhari)

Malah terdapat juga peserta perhimpunan tersebut dikalangan bukan Islam yang tiada kena mengenapun dengan keputusan Majlis Fatwa pun turut sama terlibat?? Pelik malah terkejut bukan…?? Inilah realiti kita umat Islam dewasa ini, yang dipimpin oleh pemimpin yang ‘lembik’ & ‘lemah’ yang kononya digelar sebagai bapa Demokrasi..Nah, berbanggalah kita dengan bapa demokrasi tersebut apabila agama Islam sudah berani dicampurtangan oleh bukan Islam.

Kes yang sama berlaku untuk isu yoga yang masih belum diputuskan oleh Majlis Fatwa sama ada terdapat unsur yang bertentangan dengan akidah ataupun tidak dan isu ini telah ditentang keras oleh bukan Islam walhal apa sahaja keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa sama ada mengharamkan yoga ataupun tidak hanyalah tertakhluk kepada orang Islam, tetapi mereka yang bukan Islam sudah berani mencampuri urusan agama kita..Agak-agak anda TERCABAR apabila DICABAR sedemikian?? Entahlah...



Gambar dari Malaysiakini



Kes 2,


Seorang ibu bergelar Doktor membuat laporan polis kepada guru agama di sebuah sekolah di Damansara kerana menayangkan video kematian dan menyebabkan anaknya terganggu fikiran sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Tahukah anda tujuan guru agama tersebut?? Tidak lain dan tidak bukan bertujuan semata-mata ingin menyedarkan kepada pelajar-pelajarnya tentang kepentingan SOLAT!! MasyaAllah, teruk bukan bilamana ibu mahupun bapa yang sangat lemah pengetahuan agamanya bertindak diluar batasan yang sepatutnya.


Rasulullah saw bersabda:

"Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya." Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibubapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya.”

Kalaulah orang Melayu Islam mempertikaikan Islam, apa pulak kata orang bukan Islam?? Sepatutnya ibubapalah yang perlu berterima kasih kepada pihak sekolah kerana masih ada yang cakna tentang kepentingan solat anak-anaknya lebih-lebih lagi jika mereka sendiri tidak berkesempatan mengajarnya. Rasa-rasanyalah, Doktor yang terlibat seorang yang menjaga amalan solatnya ataupun tidak??

Sabda Rasulullah SAW

“Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur 10 tahun.”

Marilah kita sama-sama berdoa, moga-moga Allah memberi taufik dan hidayahNya kepada mereka-mereka yang sudah lama lupa dari mana mereka datang dan kemana destinasi terakhir mereka nanti.

Ayuhlah kita semua menjadi anak yang paling SOLEH & SOLEHAH di dalam keluarga kita, menjadi insan pencorak yang terbaik dalam keluarga masing-masing seterusnya melahirkan keluarga yang mengamalkan cara hidup Islam yang sebenarnya, insyaAllah.

Jadilah umat Islam yang sentiasa peka dengan isu-isu semasa, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan isu agama yang kita semua kasihi dan anuti iaitu ISLAM..!!

"We Love Islam"


Nik_F

~::|Memberi bukan erti untuk Menerima|::~
Baca Seterusnya......

Sunday, November 9, 2008

Kenapa Aku MALAS...??


Salam Sang Pejuang,

Kenapa aku MALAS..??

Sewaktu kecil-kecil dahulu, perkataan MALAS begitu sinonim dengan diri penulis. Kenapa agaknya penulis memulakan tulisan dengan pernyataan di atas..??

Baik, mari kita sama-sama lihat. Perkataan MALAS begitu sinonim dengan penulis adalah disebabkan peringatan mahupun nasihat daripada Umi (ibu tersayang) atau bahasa mudahnya leteran sewaktu di rumah takkala terkenang ketika zaman-zaman nakal dahulu kala menyebabkan diri ini sentiasa teringat dengan perkataan MALAS tersebut.

Rupa-rupanya, nasihat daripada umi dan aboh (ini ayah pula) cukup memberi kesan dan begitu banyak hikmahnya setelah kita mampu menilainya sendiri diwaktu usia yang matang. Cukup takut teringat rotan yang bakal menerjah batang tubuh ini jikalau MALAS untuk solat dek kerana asyik menonton cerita favourite, Mask Rider a.k.a Kamen Rider masa kecil-kecil dahulu..hehe. Gerun betul…

Penulis bukan ingin menceritakan perihal penulis, tetapi ingin mengaitkannya dengan realiti umat manusia dewasa ini, khususnya umat Muhammad s.a.w iaitu umat Islam. Apa pentingnya kita bercakap berkaitan dengan umat Islam..??


Diriwayatkan daripada Anas r.a:

“ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.” (al-Bukhari)


Alhamdulillah penulis baru sahaja selesai menghadiri jemputan majlis kesyukuran pensyarah yang cukup-cukup penulis hormati lagi segani yang bakal menyelesaikan salah satu rukun Islam iaitu mengerjakan Haji bagi yang berkemampuan. Wah, siap ada khemah lagi, ramai betul jemputan yang hadir tadi, nasib baik gulai kambing sempat dijamah..hehe.

‘Eh, ada dapat SMS jemputan daripada En. Jo tak? Hari Sabtu ini di rumahnya Sungai Isap?’, tanya penulis kepada seorang sahabat.

Ada, tapi rasa MALAS la nak pergi, ingat nak balik rumah hujung minggu ini’, jawab sahabat tersebut. Penulis pasrah. Mungkin sahabat tersebut mempunyai halangan-halangan tertentu untuk ke majlis tersebut, tetapi inilah salah satu contoh mudah kesilapan yang mungkin ramai kita abaikan dalam hidup bermasyarakat hari ini. Kita sangat kurang MERAIKAN orang lain..!!


Dari Abu Hurairah r.a. katanya;

"Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila kamu diundang menghadiri satu jamuan hendaklah diperkenankan. Jika kamu sedang puasa, solatlah dan jika kamu tidak berpuasa makanlah." -Sahih Bukhari


Pensyarah teresebut ingin penulis nukilkan namanya iaitu En. Ahmad Johari, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Akademik, FKEE. Namanya cukup dikenali dikalangan pelajar-pelajar dengan tingkah dan tuturnya yang penuh sopan dan menghormati sesiapa sahaja yang mendampinginya. Juga merupakan seorang pendakwah yang cukup-cukup gigih dalam mendidik dan mentarbiyah masyarakat di sekitarnya. Selamat pergi dan selamat pulang buat ‘Sang Murabbi’, moga-moga dikau sentiasa dalam dakapan rahmatNya.

Realiti kita semua hari ini (fokus kepada masyarakat Islam) begitu mudah mengungkapkan ucapan MALAS lebih-lebih lagi mereka yang mengaku menjadi penyokong mahupun pendokong gerakan Islam. Agak-agaknyalah, boleh ke Islam menang dengan sikap MALAS yang masih menebal dalam diri masing-masing?? (juga bertanya pada diri sendiri).

MALAS juga sangat dekat dengan satu lagi budaya yang popular diamalkan sejak dahulu lagi iaitu budaya suka BERTANGGUH dalam melakukan sesuatu (kebaikan).

Untuk artikel pada kali ini, ayuh kita terjah kepada aktiviti-aktiviti seharian kita dalam menunaikan kewajipan selaku hamba yang hina lagi kerdil dalam beribadah kepadaNya.

Berikut antara contoh-contoh ibadah wajib dan sunat yang kita perlu muhasabah diri sama ada kita tergolong dalam kelompok yang mengamalkannya atau mengabaikannya.


1- SOLAT BERJEMAAH

‘MALASnya nak pergi ke masjid, jauhlah, sembahyang dekat bilik pun ok lah’, ungkap seorang hamba Allah. Ungkapan ini sentiasa kita dengar ataupun para pembaca sendiri pernah bermonolog sendirian dengan pernyataan di atas? Tepuk dada tanya iman.

Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin Umar r.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya solat berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian.” (Hadith riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)


Jom sama-sama kita tanamkan azam dalam diri masing-masing untuk terus istiqamah dalam mengerjakan solat berjemaah dan mengajak seramai mungkin mereka yang berada di sekeliling untuk sama-sama mencintai solat berjemaah, solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w junjungan besar kita semua.


2- MEMBACA AL-QURAN

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar (membaca) al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Hadis lain berbunyi,

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” - (Hadis riwayat al-Tirmizi)

MasyaAllah, begitu besar nikmat Allah kepada hambaNya, tetapi berapa ramai yang berusaha merebutnya? “Tak apa lah, lain kali aku bacalah al-Quran tu, bukannya kemana-mana pun..”. Fenomena ini cukup biasa berlaku dalam masyarakat kita yang mana al-Quran itu hanyalah dibaca bila mana berlaku kematian, berlakunya musibah, ingin menghalau gangguan-ganguan syaitan & iblis tetapi tidah dijadikan sebagai panduan hidup, pendamping diri mahupun penenang jiwa dikala banyaknya masalah yang melanda diri. Sikap suka BERTANGGUH ini lah yang kita perlu buang jauh-jauh yang telah berkarat membaluti hati kita semua.

Marilah kita semua menjadi insan yang sayang dan cintakan al-Quran. Jadikan al-Quran sebagai teman kemana sahaja kita pergi. Bawalah ia dan bacalah. Jadilah orang yang merasa gelisah jika tidak dapat membaca al-Quran dalam sehari. Sebaik-baiknya dalamilah isi kandungannya, moga-moga kita semua mendapat pengajaran dan petujuk setelah memahami kalam Allah tersebut.


Firman Allah SWT,

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. [An-Nisaa’-82].


3- SOLAT SUNAT DHUHA

Melalui pemerhatian penulis, antara amalan yang semakin dilupai malah tidak diambil berat langsung oleh umat Islam di akhir zaman ini adalah amalan solat sunat dhuha. Tak ada masakah kita? Atau masa kita diambil dengan perbuatan sia-sia? Atau kita tidak pernah terlintas pun dalam pemikiran untuk mengerjakan solat sunat dhuha? Ataupun pernah terlintas difikiran tetapi dek kerana sikap ‘biarlah dulu, kejap lagilah aku solat’ akibat perasaan MALAS, lantas terus meninggalkannya.

Ayuh tanyalah diri masing-masing, agak-agaknya dalam seminggu berapa kali kita pernah solat sunat dhuha? Cukup malang sekali bagi mereka yang tidak pernah sekalipun menunaikannya, lebih-lebih lagi para dai’e yang sememang memerlukan ibadah tambahan sebagai kekuatan ruhiyyah yang sememangnya perlu dibina dalam diri masing-masing.


Rasulullah s.a.w bersabda,

h_mj1.jpg (44790 bytes)

Maksudnya :"Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan"

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )


Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :

" Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha ."

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )


4- SOLAT MALAM (QIAMULLAIL)

“Alamak, kena stay up malam ni, esok ada paper final, tak habis study lagi ni”, kata seorang sahabat. Sesetengah orang boleh belajar dengan berjaga malam, sanggup bersengkang mata untuk urusan dunia, tetapi berapa keratkah di kalangan kita yang masih diberi nikmat kesihatan tubuh badan oleh Allah swt sanggup untuk bersengkang mata kerana cinta dan rindukan untuk bermunajat kepadaNya di waktu umat manusia nyenyak dibuai mimpi malam.


Firman Allah swt,

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu - pada hari akhirat - ditempat yang terpuji.” (Al Isra: 78-79)


Syarat utama pejuang mujahidin tentera Islam ketika dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi adalah mereka-mereka yang tidak tinggal solat malamnya, malah menjadi barisan yang paling depan dan ampuh bagi menggempur tentera musuh. Wah, hebat bukan penangan solat malam!!


Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

“Sesungguhnya sedekat-dekatnya seorang hamba pada Tuhannya adalah di waktu tengah malam. Oleh sebab itu, jika kamu dapat menjadikan dirimu termasuk orang-orang yang berzikir kepada-Nya, maka kerjakanlah.” (HR Abu Daud dan Tarmizi)

Mari sama-sama kita muhasabah diri, berapa kalilah kita bangun untuk solat malam minggu ini?? Berapa kalikah kita pernah menangis kerana takutkan azab Allah takkala bemunajat bersendirian denganNya?? Tetapi ramai yang boleh menangis kerana tersentuh menonton filem Bollywood mahupun Korea, Astagfirullah halazim..


Firman Allah s.w.t. ertinya:

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?” Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Az-Zumar: 9)


Marilah kita semua berusaha bersungguh-sungguh untuk terus melupuskan sifat MALAS dan sikap suka BERTANGGUH dalam diri masing-masin. Teringat kata-kata seorang sahabat “Jangan TANGGUH untuk melalukan sesuatu kebaikan..”, ayuh kita jangan membuang masa dan BERTANGGUH untuk melakukan sesuatu kebaikan..!!

Sedikit selingan, pesanan berguna daripada ‘Sang Murabbi’, En. Jo sebelum kami mengakhiri pertemuan di majlis kesyukuran tadi dengan pelukan erat kasih sayang, “Jangan lupa kepada semua, lepas sahaja dapat kerja nanti terus daftar di pejabat Tabung Haji, selesaikan ketika masih muda kerana ibadah haji itu semuanya melibatkan aktiviti fizikal, memerlukan tenaga yang secukupnya…”, kata En Jo. InsyaAllah, kami semua akan berusaha untuk tidak BERTANGGUH dalam melakukan amal ibadah kepadaNya.


Nik_F

~::|Memberi bukan erti untuk Menerima|::~


Baca Seterusnya......

Wednesday, October 29, 2008

1001 cara merebut pemerintahan MPP pasca PRK

Perang adalah angka. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Perang yang pertama dalam Islam menyaksikan bagaimana 313 tentera Islam telah menewaskan 1,000 tentera Musyrikin. Bermodalkan semangat dan tawakal bulat, mereka akhirnya menang!

Tidak dapat dinafikan bahawa hal kemenangan dan kekalahan itu memang berkait rapat dengan angka. Selalunya, angka yang besar menewaskan dan menumbangkan yang kecil. Sekiranya yang berlaku sebaliknya, tentu ia adalah kesan mukjizat.

Mukjizat berlaku apabila jumlah pasukan yang kecil dan kerdil, tapi baik amalannya lalu dengan berkat amalan itu, mereka mendapat bantuan Tuhan. Contoh-contoh klasik selain perang Badar adalah perang Talut melawan Jalut, kes Bani Israel melarikan diri daripada tentera Fir'aun di Laut Merah dan lain-lain.

Mukjizat besar terjadi, lautan terbelah dua dengan sebab amalan pengorbanan Bani Israel; berhijrah meninggalkan Mesir, meninggalkan hasil tanaman meranum untuk mencari satu penempatan baru. Amalan ini berkaitan dengan pengorbanan.

Mana-mana amalan yang menuntut pengorbanan, biasanya mewujudkan gegaran besar di dalam sejarah. Jelas.. angka bukannya kayu ukur muktamad dalam kemenangan. Menang itu boleh jadi tercipta dengan sebab mahir menyusun strategi.

Menang kerana strategi
Tentera Islam dalam kebanyakan perang, Perang Khandaq dan lain-lain peperangan, telah mencedok strategi ilmu peperangan daripada tamadun lain juga seperti Parsi dan lainnya. Soalan awal yang patut kita tanya diri sendiri .. adakah kita menyusun strategi?

Saufi daripada Upsi akhirnya melayangkan sms, "Aspirasi meletakkan calon menang tak bertanding sebagai YDP. Calon undi tertinggi PRK Upsi hanya diletakkan sebagai exco, memang mainan HEP." Saya tidak menjawab sms itu kerana penjelasannya panjang.

Maka, buang jauh-jauh pendapat selama ini, bahawa yang mendapat undi (angka) tinggi akan menang. Berasaskan pengalaman sebelum ini pun, kita dah tahu bahawa HEP Umno dan Aspirasi akan melakukan 1001 macam kaedah dan strategi untuk menang.

Kisah pilihan raya di USM itu belum tamat. Inilah sambungannya. Selesai pengiraan undi malam itu, wakil-wakil PMI, Dema yang membentuk pakatan propelajar berasa riang dan gembira. Puas hati kerana mereka mendapat undi tertinggi.

Dalam senarai calon umum itu, 4 orang wakil propelajar telah menang dan seorang sahaja wakil Aspirasi yang tersenarai dalam undian tertinggi. Sebahagian rakan-rakan PMI telah menuju ke Masjid al-Malik Khalid di USM malam itu kerana usaha mereka berbaloi.

"Kita mahu sujud dan solat syukur!" kata mereka beramai-ramai. Dan rakan-rakan Dema pun menghala ke arah Restoren Khaleel, membuang penat yang lama bertakung di tubuh mereka menjelang PRK. Demikianlah cara mereka melepaskan ketegangan di kepala.

Malam itu, sejurus pengumuman dilakukan oleh Dato' Profesor Jamaludin Mohaiadin di dewan kuliah, kumpulan Islamis melaungkan takbir dengan kemenangan itu. Gema takbir disambut TNC dengan gurauan sadis, "Yang itu (laungan) Pas!"

Deraian ketawa pun melimpah, memenuhi dewan kuliah yang bertukar menjadi tempat mengira undi. Propelajar meraikannya penuh gembira. Tak pernah tercuit, selepas itu, ada hari-hari gelap dan mendung suram mendatang, menyaksikan mereka kalah percuma!

Warga Berita Kampus berkerut dahi seperti biasa. Ya.. kerja kami belum lagi selesai. Dan saat pulangnya ke desasiswa Indah Kembara, saya terlihat kelibat juak-juak Aspirasi yang berkumpul bersama TNC di tanah lapang yang berhampiran tempat pengiraan itu.

"Kau agak.. apa TNC buat di situ?" demikian saya bertanya 'Deep Throat'.

"Entahlah, aku pun tak tahu," duri dalam daging HEP itu membalas ringkas.

"Kan kau yang selalu rapat dengan mereka?" saya bertanya kembali. Saya syak ada suatu rancangan baru yang bakal menyusul tiba. Tapi, kami gagal memahami apa-apa.

Tiba-tiba, selesai perbincangan antara TNC dan mahasiswa Aspirasi itu, mereka bertepuk tangan penuh kegembiraan. Dan mereka menyanyikan sebuah lagu. Sah! Mereka gembira ini tentunya ada apa-apa. Mereka tahu mereka akan menang! Tetapi, strategi apa?

Perang tiga peringkat
Sebab itulah dalam tulisan baru-baru ini, saya menyatakan bahawa saya mestilah gembira dengan kemenangan siswa Upsi, tapi peratus kegembiraan itu tak sampailah 100%. Saya hadam benar strategi dan pola pemikiran HEP. Bukan saya nak berlagak. Percayalah..

Sudahkah saudara menyiapkan pelan peperangan tiga peringkat? Saya percaya, ramai pro siswa menyediakan dua rancangan saja, iaitu sebelum PRK dan ketika berlangsung PRK. Sebenarnya, ada satu lagi strategi terakhir, iaitu 'backup plan' .. strategi selepas PRK.

Suatu malam, ketika berbual di ruang maya YM, Hamzah mengirim maklumat yang sama seperti Saufi. Iaitu, meminta cadangan tentang bagaimana mahu bertindak.

"Tiga calon umum yang menang PRK di Upsi dilantik jadi exco saja. Walhal, kami minta dua kerusi MT saja, iaitu NYDP dan bendahari.

"Dengan rakusnya, Proaspirasi bolot semua kerusi MT. Bagi saya, mereka dah menafikan majoriti undi siswa yang mengundi promahasiswa khasnya untuk kerusi umum," katanya. Beliau antara yang yakin sepenuhnya bahawa promahasiswa menang besar di Upsi.

Baiklah, yang tersurat telah pun terjadi. Saya teringat ungkapan Einstein yang tidak kalah menariknya. Lebih kurang begini, "Keburukan terjadi bukan kerana dunia ini dihuni oleh ramainya penjahat. Tetapi, keburukan berlaku kerana orang-orang yang sedar, melihat hal kemungkaran berlaku di depan matanya, tetapi tidak mengubahnya."

Pengajarannya..masalah ini terjadi bukan kerana Umno, HEP, Aspirasi berbuat kejahatan. Tapi, kerana orang-orang baik tidak berbuat apa-apa. Nah! Saya yakin saudara pasti rasa 'tension' lagi mendengar kenyataan ini.

Sudahlah kami kalah dan tidak mendapat kuasa, hasil penipuan HEP, kini anda menghina kami pula sebagai kelompok siswa yang tak bertindak?! Baik..dengar dulu apa penjelasan saya yang berikutnya. Asas kenapa saya berkata demikian memang wujud.

Saya bercakap melalui pengalaman, bukan cakap ikut suka hati. Di USM, hal yang sama telah berlaku. Ketika kes itu terjadi, kumpulan mahasiswa ini, Aspirasi dan promahasiswa telah dibawa ke kem BTN. Maka, gerak kerja 'brainwash' pun bermula.

Ceritanya sangat panjang di sini. Tapi, memadailah kalau saya ringkaskan di sini bahawa pada akhirnya, USM jatuh juga ke tangan Aspirasi.

"Hangpa buat apa lepas ni?" tanya saya kepada seorang pemimpin propelajar. Diam..

Kepada seorang pimpinan pelajar lagi saya turut bertanya, "Tak bolehkah buat kenyataan untuk bantah.." Dia juga mati akal. Selalunya begitulah, pimpinan siswa diam pada pasca PRK. Di sini HEP suka, sebab dia tahu pada pasca PRK propelajar akan diam sahaja.

Dan percayalah, bahawa hal ini akan terus menjadi satu budaya yang berterusan. Tahukah saudara betapa azabnya ketika saya terpaksa memujuk seorang pimpinan propelajar untuk memberikan kenyataan di Berita Kampus bahawa promahasiswa di USM menang?

"Tak apa, kalau HEP panggil nanti, kita pergi sekalilah," demikianlah saya memujuknya. Akhirnya dia bersetuju, memberanikan diri untuk memberi kenyataan kepada BK.

Saya masih ingat, hari Jumaat pagi dia menelefon saya. "Abang, HEP dah panggil."

Atas keinginan mahu bertanggungjawab dan rasa ingin bergaduh dengan HEP, maka saya jadi gembira kerana perangkap saya mengena. En. Nazrul memang marah saya. Dia halau saya keluar dari pejabat. Saya enggan. Saya merapati keraninya. Pendek kata, saya masih ingin menimbulkan kemarahan pegawai HEP itu. Fuh! Seronoknya!

"Jangan rapat dengan kerani saya!" marahnya lagi. Saya enggan. Ketika itu saya sudah di luar biliknya. Saya tak mahu menunjukkan bahawa saya akan tunduk pada arahannya. Di sini, kita harus tahu bahawa pegawai HEP berasa gembira kalau arahannya dipatuhi.

Anda mesti cuba melanggar sebanyak mungkin arahan ini dengan sengaja hingga mereka sakit hati. Semua ini pasti akan melemahkan mereka dan anda jadi kuat tiba-tiba.

"Saya bukan panggil awak! Saya panggil dia seorang saja!" katanya ketika merujuk siswa itu. Saya masih diam, buat-buat memandang siling, pintu, meja dan apa-apa sajalah yang boleh dipandang. Anda mesti tekan perasaan HEP, tapi kenapa hal ini tak dilakukan?

Sesekali, anda perlu berlawak jenaka juga dengan HEP. Ini sebagai menunjukkan bahawa mereka ini tidak dihormati oleh warga kampus. Ada banyak lagi yang mahu diceritakan. Tetapi, biarlah saya berhenti di sini dahulu.

Syor dan cadangan
Baiklah..ketika saya mengarang ini, saya sendiri tak tahu apa yang sedang dilakukan oleh HEP dan apa yang sedang dirancang oleh mahasiswa Upsi itu. Tapi inilah syor-syor yang mungkin boleh saudara usahakan.

Pertama, himpunkan mahasiswa Upsi seluruhnya yang telah mengundi propelajar tempoh hari. Gunakan kebijaksanaan, mengguna persatuan-persatuan tertentu di Upsi yang anda kuasai untuk menggunakan kemudahan tersebut.

Kedua, sebarkan 'flyers' maklumat tentang perhimpunan itu. Minta pandangan-pandangan mereka berhubung kaedah bagaimana yang perlu mereka lakukan bagi mengatasi hal ini. Katakan kepada siswa, undi anda telah dinafikan oleh HEP, maka apa tindakan kita?

Ketiga, lantik barisan 'MPP alternatif'' dan isytiharkan kepada semua mahasiswa bahawa inilah MPP yang sah sebenarnya dan MPP yang dilantik HEP itu adalah MPP haram.

Keempat, kenyataan dan pendirian saudara berhubung MPP alternatif itu hendaklah juga dirakam melalui YouTube dan salinannya disebarkan seluas-luasnya di internet.

Kelima, berjumpa dengan pihak media cetak, media eletronik, Buletin Utama, NTV7 dan sebagainya untuk mengisytiharkan bahawa MPP anda adalah sah dan HEP telah khianat kepada perjalanan demokrasi kampus.

Keenam, melalui kenyataan terbuka di media eletronik, desak Idris Haron agar menjawab segala kenyataan saudara itu termasuklah pegawai HEP anda sendiri.

Ketujuh, undang bersama pensyarah-pensyarah yang berani sebagai penasihat anda dalam hal ini. Ertinya, mahasiswa propelajar yang dilantik sebagai exco di dalam MPP haruslah meletakkan jawatan untuk dimasukkan dalam kerajaan MPP alternatif itu.

Dan banyak lagi yang boleh anda rancangkan nanti. Perhatian.. semua langkah di atas ini memang jelas menyalahi Auku. Anda tak boleh membuat kenyataan media melainkan ia mestilah melalui TNC. Ini semua, anda sedia maklum bukan?

Tetapi, kalau ingin berjuang dan tak mahu ditembak mati seperti Gandhi, Hasan al-Banna atau tidak mahu dipenjarakan seperti Nelson Mandela atau maut di tali gantung sebagai Syed Qutb, lupakan sajalah syor-syor di atas. Berehatlah dan wariskan derita batin untuk generasi seterusnya pada sidang hadapan. Wariskan kekalahan ini untuk bakal guru.

Saya tidak suka menyindir, menaikkan suhu bahang kemarahan, mendidihkan kegeraman yang telah lama menggelegak di kolam perasaan saudara. Saya tahu apa perasaan disindir itu. Ek, eleh.. macamlah kami ini tidak berguna walau seduit pun.

Proteslah seperti Sivaji!
Duit satu rupee kalau jatuh dalam genggaman seorang Sivaji pun besar maknanya kerana bermodalkan duit syiling itulah dia sanggup dan berani melawan. Tengok tak filem Sivaji The Boss baru-baru ini? Kalau tak sempat tonton, belilah VCD atau DVD satu.

Tapi, janganlah berlatih baling duit syiling, berlatih makan 'chewing gum', berlatih pakai cermin mata ala Sivaji. Bukan apa syeih..Ana dah cuba banyak kali dah. Memang tak jadi pun! Jadi, saya harap saudara berlatih bijak bertindak seperti Sivaji yang mengesan wang haram dan mengguna video di mana hal itu hampir sama dengan kes klip video Linggam correct, correct, correct. Gunalah YouTube, media elektronik perdana dan lainnya.

India itu walau terjebak dalam barah rasuah menggila, masih berani bermimpi membunuh pemimpinnya lewat filem. Labu Labi walau diherdik, masih berani protes dalam mimpi, mewajahkan watak majikan mereka, Hj Bakhil sebagai pelayan bar dan beruk mat ye.

Saudara memang berani protes di dalam blog. Tahniah.. saya memang gumbira. Tapi, apa kata jika anda lanjutkan protes sebagai Labu yang terbawa-bawa protesnya di alam realiti ketika Hj Bakhil simbah wajahnya dengan air. Kita boleh lihat ketakutannya bukan?

Syahadan, tentang syor-syor cara melawan HEP pasca PRK itu bukanlah saya harapkan sangat saudara mengikuti langkah-langkah tersebut. Mungkin, dalam pertemuan saudara bersama pelajar-pelajar Upsi itu nanti, saudara akan dapat menemukan lebih banyak syor yang berguna, baik dan sesuai dengan situasi di Upsi. Itulah yang terlebih baik.

Saat mengarang ini banyak limpahan perasaan berkubang di dalam dada. Rasa nak marah dan berlagak pun ada. Justeru itu saya mohon maaf. Rasa mahu ketawa pun ada, sebab itu saya pun tergelak, terguling dan tersenyum sendirian tatkala mengarang ini.

Kata Sukarno, berikan saya 10 orang pemuda nescaya saya akan goncangkan dunia. Saya bukan Bung Karno. Cuma, nak tanya.. berapa ramai yang boleh bergerak untuk melawan dalam tempoh pasca PRK ini? Takkan Saufi dan Hamzah saja kot?!

Kee.. saudara nak saya turun ke Upsi? Haa.. jawab-jawab..

3:02 a.m, 29 Syawal 1429
Sekolah Pemikiran Kg Baru.
_


Ulasan Penulis :

Salam Sang Pejuang,

Perkataan MAHASISWA ketika suatu masa dahulu cukup gah & hebat malah dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat amnya. Malah jika salah seorang daripada penduduk kampung yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading akan riuhlah satu kampung yang mencanangnya..!! Wah, hebat bukan penangan insan yang bergelar MAHASISWA..!! Tapi malangnya, dewasa ini mahasiswa seperti kehilangan taringnya, kahabisan bisanya, malah ngauman suaranya sudah semakin dipinggirkan oleh masyarakat sekeliling.



Kemana perginya perkataan 'mahasiswa sebagai jurubicara ummah'? Tepuk dada, tanyalah hati. Keupayaan mahasiswa diperkotak-katikkan oleh sesetengah pihak, seperti yang kita dapat ambil contoh berlakunya penipuan-penipuan (seperti artikel di atas) yang berterusan seterusnya menidakkan kelangsungan mahasiswa untuk terus bersuara bagi menegakkan yang hak dan menjatuhkan yang batil. Mahasiswa umpama dicucuk hidungnya oleh pihak-pihak tertentu bagi memastikan agenda-agenda jahat mereka dapat diteruskan seterusnya menutup mulut mahasiswa yang benar-benar ingin membela ummah, seterusnya mendaulatkan agama Islam di tempat yang tertinggi. Inikah demokrasi alaf baru..?? Maka, salahkanlah diri sendiri yang hanya mampu berpeluk tubuh melihat situasi ini berulang dan berulang kali entah sampai bila agaknya.

Sekurang-kurangnya, gunalah otak yang bijak pandai dikurniakan oleh Allah ini untuk memilih pemimpin yang terbaik dikalangan kamu, pemimpin yang terbaik yang bakal menerajui pemerintahan negara kita suatu masa kelak. Pilihlah pemimpin yang beriman, baik akhlaknya, mulia pekertinya & sekurang-kurannya mampu menjadi IMAM solat berjamaah..!!


Firman Allah SWT :

Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat (pemimpin) dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali. [Ali 'Imran 28].


Ingatlah bahawa perancangan Allah itu sebaik-baiknya perancangan. Walau apa cara sekalipun 'penipuan' mahupun taktik kotor yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak yang bencikan Islam (tidak terlalu kasar saya kira), Allah pasti akan menolong hambaNya yang beriman..InsyaAllah.


Firman Allah SWT :

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu [Ali 'Imran 26].

Ayuh bangkitlah mahasiswa-mahasiswa sekalian, kita sama-sama daulatkan Islam di tempat yang tertinggi..!! Allahuakbar..!!


Nik_F



Baca Seterusnya......

Sunday, October 26, 2008

Selamat Datang..!! Ahlan Wa sahlan..!!!

Assalamualaikum warahmatullah,

Syukur alhamdulillah dipanjatkan kepada Maha Pencipta kerana telah memberi peluang kepada diri ini untuk mula 'terjebak' di dalam kancah blogger ini.

Moga-moga melalui penulisan blog ini dapat memberi manfaat yang terbaik kepada semua blogger-blogger mahupun semua pembaca yang budiman demi menyebar luaskan lagi syiar Islam di bumi Allah ini, insyaAllah.

Tegurlah jika diri ini melakukan kesilapan, sesungguhnya manusia itu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Ayuh kita semua melakukan sesuatu demi kebaikan Islam..!!


Nik_F


Baca Seterusnya......
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template