Sunday, April 5, 2009

Pupusnya Jemaah Subuh...

“Tuut…tuut… Tritt…tritt…”, bunyi alarm fon, malah macam-macam nada lagi di set sebagai ringtone alarm untuk kejut subuh, tetapi HAMPEH..!!, bunyi alarm menjadi siulan yang mengasyikkan untuk lebih hanyut melayan mimpi indah yang tidak berkesudahan.

Tetapi lebih HAMPEH kepada sesiapa yang tidak langsung berusaha meng’alarm’ fon untuk kejut subuh. Tetapikan, ramai juga di kalangan umat Muhammad akhir zaman ini yang tersedar jam 7.00 pagi masih terasa awal untuk solat subuh tetapi masih sempat sambung tidur lagi tanpa langsung rasa bersalah dalam diri..!! MasyaAllah…

Tahukah sahabat-sahabat sekalian, kekuatan iman seseorang umat Islam itu, lebih-lebih lagi mereka yang mengaku mendokong perjuangan Islam diukur pada istiqamahnya SOLAT SUBUH BERJEMAAH DI MASJID..??!! Nah, apa lagi yang boleh dibanggakan dalam diri kalau bab solat subuh berjemaah pun tak settle lagi…Aduh, pedihnya jiwa, resahnya perasaan, kacaunya fikiran mengenangkan mereka-mereka yang langsung tidak ada perasaan bersalah dalam diri ataupun menyesal apabila solat subuh berseorangan di rumah, bilik-bilik malah lebih teruk lagi tidak solat langsung..!!

Berikut antara hujah yang boleh dimuhasabah bersama :

1.
"Dan (dirikanlah pula solat subuh). Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat)". ( Al Isra (17) ayat 78 ).

2.
"Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isya dan solat subuh" (HR.Ahmad)

3.
“Tidak masuk neraka seseorang yang melakukan solat sebelum matahari terbit dan sebelum terbenam (solat subuh dan Asar.”) (HR:Muslim)

4.
Ibnu Umar RA pun berkata: "Ketika kami tidak melihat seseorang dalam solat subuh atau isyak, kami langsung berperasangka buruk kepadanya." Dan ujar Imam Malik lagi : "Batas antara kita dengan orang-orang munafik adalah menghadiri solat isyak dan subuh, sebab orang-orang munafik tidak sanggup menghadiri kedua solat tersebut".

Malah banyak lagi hadith mahupun nas yang boleh dirujuk tentang kelebihan solat subuh berjemaah ini, cumanya antara MAHU DAN TIDAK MAHU sahaja yang menjadi konflik dalam diri. Tepuk dada Tanya iman masing-masing.

Antara punca,

Selidik punya selidik, perhati punya perhati, banyak sebenarnya punca-punca sesorang itu liat atau malas untuk bangun solat subuh berjemaah ni, jom sama-sama kita tengok,

1. Diri sendiri
• Susah dan payah nak ubah kalau dah dalam diri tu MALAS untuk ke masjid/surau walaupun sudah dikejutkan dengan perbagai jenis kaedah dan teknik, sudah bangun awal, sudah ada peluang untuk ke masjid, tetapi masih juga nak solat bersendirian..Susah kan kalau ada orang jenis macam ni.

2. Tidur lewat
• Banyak faktornya tidur lewat ni, antaranya ‘belajar’, main game, sembang kosong, tengok cerita (korea, jepun, anime, omputih, dan lain-lain), tak boleh tidur dan banyak lagi..Tolong la ye, jangan sesekali menjadikan alasan lewat tidur untuk apa jua sebab sekalipun sebagai punca untuk sukar bangun solat subuh berjemaah. Ingat, tanggungjawab bangun subuh memang termaktub bagi setiap individu yang bergelar MUSLIM. Cuba semak IC masing-masing, sama ada tertera perkataan ISLAM ataupun tidak.

3. Tempat tidur terlalu selesa
• Tak salah nak tidur beralaskan sehingga 5 lapis tilam dunlopillow sekalipun, tetapi salah satunya punca susah nak bangun subuh adalah berpunca daripada faktor tersebut..!! Kuncilah walau berkarung jam loceng sekalipun, kalau dah selesa dan terlalu nyeyak tidurnya…almaklumlah ye, rumah terbakar pun masih boleh tarik selimut lagi.

4. Terlalu banyak melakukan maksiat
• Maksiat memang susah nak dielakkan, tetapi sebaik-baiknya berusahalah untuk mengurangkannya. Bila maksiat sudah sebati di dalam diri, memang susahlah terbuka pintu hati untuk melakukan perkara-perkara kebaikan. Lebih enak untuk sambung tidur tika dinihari kan..??

Antara Cara Mengatasi,

1. Tidur awal & niat
• Berusaha menyusun jadual seharian anda semua untuk limitkan had waktu terakhir yang anda sepatutnya tidur. Badan dan minda kita memerlukan rehat yang cukup. Jangan lupa sebelum tidur niat untuk bangun solat malam dan solat subuh berjemaah, insyaAllah, Allah permudahkan.

2. Kunci jam dan bantuan kawan
• Pastikan sebelum tidur, jam dialarmkan sama ada fon ataupun jam loceng. Malah lebih menarik lagi, gunakan khidmat kawan-kawan anda yang baik hati untuk mengejut anda dengan apa jua kaedah sekalipun (SMS, miscall, simbah air, dan lain-lain cara yang difikirkan sesuai). Masa inilah nak uji ukhuwah dikalangan kawan-kawan sekeliling kan..he

3. Tempat tidur sesuai
• Sesuaikan tempat tidur sahabat-sahabat semua mengikut keupayaan diri untuk bangun subuh masing-masing. Kepada mereka-mereka yang memang juara tidur, elakkan dari tidur di tempat yang terlalu selesa bertilamkan tilam yang empuk, tetapi pilihlah tempat tidur yang sesuai (jangan bawah katil pulak) yang difikirkan mudah untuk bangun seperti beralaskan tikar dan karpet. Malah lebih praktikal dan berkesan adalah tidur di masjid. Rindu betul melalui suasana tersebut, kepada yang masih berkesempatan, hargailah baik-baik. Pahala iktikaf pun dapat, subuh pun mudah bangun, MasyaAllah, besar betul nikmat Allah kepada mereka yang diberi petunjukNya..

5. Kurangkan maksiat
• Jauhkan daripada terlalu banyak menonton cerita-cerita yang melalaikan (korea, jepun, anime, dan lain-lain) sehingga larut malam dan terlalu kerap. Berusahalah untuk mengurangkan dan terus berhenti. Jangan gunakan kemudahan internet yang ada semata-mata untuk mendownload segala macam cerita yang ada di planet bumi ini. Kepada yang berimejkan ‘budak masjid’ataupun abang dan kakak yang menjadi contoh kepada adik-adik di sekelilingnya, tolonglah jaga imej dan reputasi suci tersebut daripada di rosakkan oleh perlakuan anda semua.

Wah, panjang betul menulis malam ni, dah jam 2.21 pagi ni, penulis pun kena tidur awal jugak, nanti kantoi subuh berjemaah habis la..he. Oklah ye teman-teman pembaca sekalian, moga serba sedikit perkongsian di atas tadi sama-sama dapat diambil manfaat, tak boleh banyak, sedikit pun jadilah. Tulisan ini juga mengingatkan dan menasihatkan kepada diri penulis sendiri, sama-samalah tegur-menegur kalau ada salah dan silap, moga-moga kita semua sentiasa di dalam rahmat dan kasih sayangNya, InsyaAllah..


(Harap maaf bahasa rojak, sila rujuk kamus dewan untuk bahasa yang tepat. Tujuan penulisan sebegini hanyalah untuk memudahkan pembaca memahaminya dalam keadaan santai).



Nik_F

~::|Memberi bukan erti untuk Menerima|::~

0 comments:

Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template