Wednesday, November 19, 2008

Salam Perpisahan...

Salam Sang Pejuang,

Akhirnya saat ini tiba jua. Takkala ada pertemuan, sudah semestinya ada saat perpisahan. Bila sesuatu pertemuan dihiasi dengan pelagai kenangan manis malah kenangan pahit sekalipun, tetapi ianya masih tetap menjadi ingatan selagi hayat ini dikandung badan.

2003, tahun bersejarah buat penulis menjejakkan kaki ke bumi Pahang bagi meneruskan misi seorang dai’e di muka bumi Allah ini dalam menuntut ilmu di bumi gersang Gambang. Alhamdulillah, akhirnya selesai melengkapkan diploma & ijazah sarjana muda setelah 6 tahun ‘berperang’, insyaAllah..Selamat tinggal UMP, dikau banyak mengajar erti kehidupan buat ku.

Terima kasih kepada semua yang banyak membantu, mendidik, memberi tunjuk ajar, memberi perangsang, menjadi teman suka dan duka, dan banyak lagi..tak mampu diri ini menukilkannya.

Buat para pensyarah, ustaz, ustazah mahupun semua staff, terima kasih di atas segala ilmu yang dicurahkan, tunjuk ajar yang diberikan, bimbingan dan dorongan yang telah diberikan, mohon halalkan semuanya. Kalian telah banyak mendidik diri ini menjadi insan yang mampu berdikari seterusnya bersedia mendepani cabaan yang bakal mendatang di medan yang lebih mencabar..TERIMA KASIH…Moga Allah lah yang selayaknya membalas jasa kalian semua.

Teman-teman ku, dikaulah rakan-rakan yang sangat banyak membantu dalam meneruskan ‘survivor’ sebagai seorang mahasiswa yang penuh dengan onak dan likunya. Dikaulah teman yang banyak memberi dorongan mahupun sokongan takkala bantuan diperlukan. Teman-teman sekalian, diri ini sangat-sangat bertuah mengenali dikau sekalian, terima kasih Allah atas nikmat yang cukup-cukup berharga ini. Di bumi manakah lagi aku dapat mencari pengganti seperti kalian semua..?? Terima kasih kerana memberi peluang mengenali diri kalian semua dan sanggup berkongsi kenangan terindah bersama kalian..terima kasih..

Ya Allah ya tuhankan, aku memohon kepada Mu agar ikatan ukhuwah yang telah dibina didasarkan rasa cinta dan kasih kerana Mu ini akan kekal selamanya, kekalkanlah ingatan saat-saat manis bersama mereka, berilah mereka petunjuk dan taufik Mu serta letakkan mereka di bawah lembayung rahmat Mu..amin. Maafkan daku atas salah & silap dan halalkan segala-galanya.

Akhirnya medan perjuangan sebenar menanti di luar sana, insyaAllah, segala ilmu mahupun persediaan sebelum melangkah keluar akan dimaksimumkan penggunaannya di ‘medansana. Doakan ku wahai teman-teman, para pendidik sekalian, moga diri ini sentiasa terikat dengan Allah dan rindu serta kasih kepada perjuangan Islam..InsyaAllah.


Terima kasih atas segala-galanya. Moga kita semua berjumpa lagi di lain pertemuan, insyaAllah. Daku pasti merindui kalian semua!!!

Bak kata seorang teman baikku, ‘try to be somebody and create your own history’..


Nik_F

~::|Memberi bukan erti untuk Menerima|::~


Baca Seterusnya......

Tuesday, November 11, 2008

Umat Muhammad Akhir Zaman…


Salam Sang Pejuang,

Sedarkan pembaca-pembaca budiman sekalian, semakin hari semakin parah rupanya masyarakat disekeliling kita yang beridentitikan mycard yang tertera ISLAM di dalamnya?? Penulis mengambil contoh mudah beberapa isu yang berlaku kebelakangan ini dek kerana lemahnya pegangan agama dan ceteknya pengetahuan Islam umat manusia akhir zaman ini.


Kes 1,

Baru-baru ini (Harian Metro : Ahad, 9 November 2008) & Malaysiakini melaporkan terdapat sebahagian anak-anak muda yang cukup berani melakukan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan isu ‘pengkid’. Tahukan apa itu ‘pengkid’? Tahniah jika anda seorang yang sentiasa ambil cakna berkenaan isu-isu semasa. Bagaimana pula mereka yang mengerutkan keningnya apabila perkataan ‘pengkid’ dibangkitkan?? Sah! Anda berada dalam ‘ZON SELESA”.

Salah satu kelemahan umat Islam umumnya & mahasiswa khususnya yang amat-amat tidak peka berkenaan dengan isu semasa walhal ia membabitkan isu agama Islam sendiri..!!

‘Pengkid’, trend anak muda perempuan yang cuba mengubah identiti mahupun gaya penampilan kepada LELAKI serta cenderung minat kepada kaum sejenis yang semakin mendapat tempat di dalam negara kita, sedarkah anda semua..?? Malah Majlis Fatwa Kebangsaan telah bersepakat mengharamkan ‘pengkid’ yang sememangnya bertentangan dengan tabii dan fitrah manusia lebih-lebih lagi agama Islam sendiri.

Rasulullah SAW bersabda:

“Rasulullah SAW melaknat wanita-wanita yang berpakaian menyerupai lelaki dan lelaki berpakaian menyerupai wanita.” (H.R. Bukhari)

Malah terdapat juga peserta perhimpunan tersebut dikalangan bukan Islam yang tiada kena mengenapun dengan keputusan Majlis Fatwa pun turut sama terlibat?? Pelik malah terkejut bukan…?? Inilah realiti kita umat Islam dewasa ini, yang dipimpin oleh pemimpin yang ‘lembik’ & ‘lemah’ yang kononya digelar sebagai bapa Demokrasi..Nah, berbanggalah kita dengan bapa demokrasi tersebut apabila agama Islam sudah berani dicampurtangan oleh bukan Islam.

Kes yang sama berlaku untuk isu yoga yang masih belum diputuskan oleh Majlis Fatwa sama ada terdapat unsur yang bertentangan dengan akidah ataupun tidak dan isu ini telah ditentang keras oleh bukan Islam walhal apa sahaja keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa sama ada mengharamkan yoga ataupun tidak hanyalah tertakhluk kepada orang Islam, tetapi mereka yang bukan Islam sudah berani mencampuri urusan agama kita..Agak-agak anda TERCABAR apabila DICABAR sedemikian?? Entahlah...



Gambar dari Malaysiakini



Kes 2,


Seorang ibu bergelar Doktor membuat laporan polis kepada guru agama di sebuah sekolah di Damansara kerana menayangkan video kematian dan menyebabkan anaknya terganggu fikiran sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Tahukah anda tujuan guru agama tersebut?? Tidak lain dan tidak bukan bertujuan semata-mata ingin menyedarkan kepada pelajar-pelajarnya tentang kepentingan SOLAT!! MasyaAllah, teruk bukan bilamana ibu mahupun bapa yang sangat lemah pengetahuan agamanya bertindak diluar batasan yang sepatutnya.


Rasulullah saw bersabda:

"Hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya." Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Adalah menjadi tugas ibubapa untuk mencorakkan kehidupan anak-anak seterusnya sama ada untuk menjadikannya baik atau sebaliknya.”

Kalaulah orang Melayu Islam mempertikaikan Islam, apa pulak kata orang bukan Islam?? Sepatutnya ibubapalah yang perlu berterima kasih kepada pihak sekolah kerana masih ada yang cakna tentang kepentingan solat anak-anaknya lebih-lebih lagi jika mereka sendiri tidak berkesempatan mengajarnya. Rasa-rasanyalah, Doktor yang terlibat seorang yang menjaga amalan solatnya ataupun tidak??

Sabda Rasulullah SAW

“Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur 10 tahun.”

Marilah kita sama-sama berdoa, moga-moga Allah memberi taufik dan hidayahNya kepada mereka-mereka yang sudah lama lupa dari mana mereka datang dan kemana destinasi terakhir mereka nanti.

Ayuhlah kita semua menjadi anak yang paling SOLEH & SOLEHAH di dalam keluarga kita, menjadi insan pencorak yang terbaik dalam keluarga masing-masing seterusnya melahirkan keluarga yang mengamalkan cara hidup Islam yang sebenarnya, insyaAllah.

Jadilah umat Islam yang sentiasa peka dengan isu-isu semasa, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan isu agama yang kita semua kasihi dan anuti iaitu ISLAM..!!

"We Love Islam"


Nik_F

~::|Memberi bukan erti untuk Menerima|::~
Baca Seterusnya......

Sunday, November 9, 2008

Kenapa Aku MALAS...??


Salam Sang Pejuang,

Kenapa aku MALAS..??

Sewaktu kecil-kecil dahulu, perkataan MALAS begitu sinonim dengan diri penulis. Kenapa agaknya penulis memulakan tulisan dengan pernyataan di atas..??

Baik, mari kita sama-sama lihat. Perkataan MALAS begitu sinonim dengan penulis adalah disebabkan peringatan mahupun nasihat daripada Umi (ibu tersayang) atau bahasa mudahnya leteran sewaktu di rumah takkala terkenang ketika zaman-zaman nakal dahulu kala menyebabkan diri ini sentiasa teringat dengan perkataan MALAS tersebut.

Rupa-rupanya, nasihat daripada umi dan aboh (ini ayah pula) cukup memberi kesan dan begitu banyak hikmahnya setelah kita mampu menilainya sendiri diwaktu usia yang matang. Cukup takut teringat rotan yang bakal menerjah batang tubuh ini jikalau MALAS untuk solat dek kerana asyik menonton cerita favourite, Mask Rider a.k.a Kamen Rider masa kecil-kecil dahulu..hehe. Gerun betul…

Penulis bukan ingin menceritakan perihal penulis, tetapi ingin mengaitkannya dengan realiti umat manusia dewasa ini, khususnya umat Muhammad s.a.w iaitu umat Islam. Apa pentingnya kita bercakap berkaitan dengan umat Islam..??


Diriwayatkan daripada Anas r.a:

“ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.” (al-Bukhari)


Alhamdulillah penulis baru sahaja selesai menghadiri jemputan majlis kesyukuran pensyarah yang cukup-cukup penulis hormati lagi segani yang bakal menyelesaikan salah satu rukun Islam iaitu mengerjakan Haji bagi yang berkemampuan. Wah, siap ada khemah lagi, ramai betul jemputan yang hadir tadi, nasib baik gulai kambing sempat dijamah..hehe.

‘Eh, ada dapat SMS jemputan daripada En. Jo tak? Hari Sabtu ini di rumahnya Sungai Isap?’, tanya penulis kepada seorang sahabat.

Ada, tapi rasa MALAS la nak pergi, ingat nak balik rumah hujung minggu ini’, jawab sahabat tersebut. Penulis pasrah. Mungkin sahabat tersebut mempunyai halangan-halangan tertentu untuk ke majlis tersebut, tetapi inilah salah satu contoh mudah kesilapan yang mungkin ramai kita abaikan dalam hidup bermasyarakat hari ini. Kita sangat kurang MERAIKAN orang lain..!!


Dari Abu Hurairah r.a. katanya;

"Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila kamu diundang menghadiri satu jamuan hendaklah diperkenankan. Jika kamu sedang puasa, solatlah dan jika kamu tidak berpuasa makanlah." -Sahih Bukhari


Pensyarah teresebut ingin penulis nukilkan namanya iaitu En. Ahmad Johari, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Akademik, FKEE. Namanya cukup dikenali dikalangan pelajar-pelajar dengan tingkah dan tuturnya yang penuh sopan dan menghormati sesiapa sahaja yang mendampinginya. Juga merupakan seorang pendakwah yang cukup-cukup gigih dalam mendidik dan mentarbiyah masyarakat di sekitarnya. Selamat pergi dan selamat pulang buat ‘Sang Murabbi’, moga-moga dikau sentiasa dalam dakapan rahmatNya.

Realiti kita semua hari ini (fokus kepada masyarakat Islam) begitu mudah mengungkapkan ucapan MALAS lebih-lebih lagi mereka yang mengaku menjadi penyokong mahupun pendokong gerakan Islam. Agak-agaknyalah, boleh ke Islam menang dengan sikap MALAS yang masih menebal dalam diri masing-masing?? (juga bertanya pada diri sendiri).

MALAS juga sangat dekat dengan satu lagi budaya yang popular diamalkan sejak dahulu lagi iaitu budaya suka BERTANGGUH dalam melakukan sesuatu (kebaikan).

Untuk artikel pada kali ini, ayuh kita terjah kepada aktiviti-aktiviti seharian kita dalam menunaikan kewajipan selaku hamba yang hina lagi kerdil dalam beribadah kepadaNya.

Berikut antara contoh-contoh ibadah wajib dan sunat yang kita perlu muhasabah diri sama ada kita tergolong dalam kelompok yang mengamalkannya atau mengabaikannya.


1- SOLAT BERJEMAAH

‘MALASnya nak pergi ke masjid, jauhlah, sembahyang dekat bilik pun ok lah’, ungkap seorang hamba Allah. Ungkapan ini sentiasa kita dengar ataupun para pembaca sendiri pernah bermonolog sendirian dengan pernyataan di atas? Tepuk dada tanya iman.

Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin Umar r.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Sesungguhnya solat berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian.” (Hadith riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)


Jom sama-sama kita tanamkan azam dalam diri masing-masing untuk terus istiqamah dalam mengerjakan solat berjemaah dan mengajak seramai mungkin mereka yang berada di sekeliling untuk sama-sama mencintai solat berjemaah, solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w junjungan besar kita semua.


2- MEMBACA AL-QURAN

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar (membaca) al-Quran dan mengajarnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


Hadis lain berbunyi,

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” - (Hadis riwayat al-Tirmizi)

MasyaAllah, begitu besar nikmat Allah kepada hambaNya, tetapi berapa ramai yang berusaha merebutnya? “Tak apa lah, lain kali aku bacalah al-Quran tu, bukannya kemana-mana pun..”. Fenomena ini cukup biasa berlaku dalam masyarakat kita yang mana al-Quran itu hanyalah dibaca bila mana berlaku kematian, berlakunya musibah, ingin menghalau gangguan-ganguan syaitan & iblis tetapi tidah dijadikan sebagai panduan hidup, pendamping diri mahupun penenang jiwa dikala banyaknya masalah yang melanda diri. Sikap suka BERTANGGUH ini lah yang kita perlu buang jauh-jauh yang telah berkarat membaluti hati kita semua.

Marilah kita semua menjadi insan yang sayang dan cintakan al-Quran. Jadikan al-Quran sebagai teman kemana sahaja kita pergi. Bawalah ia dan bacalah. Jadilah orang yang merasa gelisah jika tidak dapat membaca al-Quran dalam sehari. Sebaik-baiknya dalamilah isi kandungannya, moga-moga kita semua mendapat pengajaran dan petujuk setelah memahami kalam Allah tersebut.


Firman Allah SWT,

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya. [An-Nisaa’-82].


3- SOLAT SUNAT DHUHA

Melalui pemerhatian penulis, antara amalan yang semakin dilupai malah tidak diambil berat langsung oleh umat Islam di akhir zaman ini adalah amalan solat sunat dhuha. Tak ada masakah kita? Atau masa kita diambil dengan perbuatan sia-sia? Atau kita tidak pernah terlintas pun dalam pemikiran untuk mengerjakan solat sunat dhuha? Ataupun pernah terlintas difikiran tetapi dek kerana sikap ‘biarlah dulu, kejap lagilah aku solat’ akibat perasaan MALAS, lantas terus meninggalkannya.

Ayuh tanyalah diri masing-masing, agak-agaknya dalam seminggu berapa kali kita pernah solat sunat dhuha? Cukup malang sekali bagi mereka yang tidak pernah sekalipun menunaikannya, lebih-lebih lagi para dai’e yang sememang memerlukan ibadah tambahan sebagai kekuatan ruhiyyah yang sememangnya perlu dibina dalam diri masing-masing.


Rasulullah s.a.w bersabda,

h_mj1.jpg (44790 bytes)

Maksudnya :"Kekasihku Rasullullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan"

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )


Dalam riwayat yang lain Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda yang maksudnya :

" Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah ( sebagai ganti ) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha ."

( Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim )


4- SOLAT MALAM (QIAMULLAIL)

“Alamak, kena stay up malam ni, esok ada paper final, tak habis study lagi ni”, kata seorang sahabat. Sesetengah orang boleh belajar dengan berjaga malam, sanggup bersengkang mata untuk urusan dunia, tetapi berapa keratkah di kalangan kita yang masih diberi nikmat kesihatan tubuh badan oleh Allah swt sanggup untuk bersengkang mata kerana cinta dan rindukan untuk bermunajat kepadaNya di waktu umat manusia nyenyak dibuai mimpi malam.


Firman Allah swt,

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu - pada hari akhirat - ditempat yang terpuji.” (Al Isra: 78-79)


Syarat utama pejuang mujahidin tentera Islam ketika dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi adalah mereka-mereka yang tidak tinggal solat malamnya, malah menjadi barisan yang paling depan dan ampuh bagi menggempur tentera musuh. Wah, hebat bukan penangan solat malam!!


Sabda Rasulullah s.a.w. ertinya:

“Sesungguhnya sedekat-dekatnya seorang hamba pada Tuhannya adalah di waktu tengah malam. Oleh sebab itu, jika kamu dapat menjadikan dirimu termasuk orang-orang yang berzikir kepada-Nya, maka kerjakanlah.” (HR Abu Daud dan Tarmizi)

Mari sama-sama kita muhasabah diri, berapa kalilah kita bangun untuk solat malam minggu ini?? Berapa kalikah kita pernah menangis kerana takutkan azab Allah takkala bemunajat bersendirian denganNya?? Tetapi ramai yang boleh menangis kerana tersentuh menonton filem Bollywood mahupun Korea, Astagfirullah halazim..


Firman Allah s.w.t. ertinya:

“(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?” Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.” (Az-Zumar: 9)


Marilah kita semua berusaha bersungguh-sungguh untuk terus melupuskan sifat MALAS dan sikap suka BERTANGGUH dalam diri masing-masin. Teringat kata-kata seorang sahabat “Jangan TANGGUH untuk melalukan sesuatu kebaikan..”, ayuh kita jangan membuang masa dan BERTANGGUH untuk melakukan sesuatu kebaikan..!!

Sedikit selingan, pesanan berguna daripada ‘Sang Murabbi’, En. Jo sebelum kami mengakhiri pertemuan di majlis kesyukuran tadi dengan pelukan erat kasih sayang, “Jangan lupa kepada semua, lepas sahaja dapat kerja nanti terus daftar di pejabat Tabung Haji, selesaikan ketika masih muda kerana ibadah haji itu semuanya melibatkan aktiviti fizikal, memerlukan tenaga yang secukupnya…”, kata En Jo. InsyaAllah, kami semua akan berusaha untuk tidak BERTANGGUH dalam melakukan amal ibadah kepadaNya.


Nik_F

~::|Memberi bukan erti untuk Menerima|::~


Baca Seterusnya......
Design by Abdul Munir Visit Original Post Islamic2 Template